Pembubaran PDS dan Penubuhan Semula UPKO Parti_Demokratik_Sabah

Pada 28 Julai 1999, Mesyuarat Majlis Tertinggi PDS bersetuju dengan sebulat suara untuk mengorbankan PDS bagi menghidupkan semula Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (1964-1967) dengan perubahan nama sedikit sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu tetapi mengekalkan singkatan yang sama iaitu UPKO. Dalam Kongres PDS yang ke-5 pada 8 Ogos 1999, para perwakilan juga bersetuju dengan keputusan itu. Bendera PDS kemudian diturunkan dan pada masa yang sama, bendera UPKO dinaikkan.

Majlis pelancaran pada 30 Oktober 1999 telah diadakan di Ranau kerana menurut legenda, Nunuk Ragang yang terletak di daerah Ranau merupakan asal-usul masyarakat KDM. Lagipun lambang UPKO, iaitu Gunung Kinabalu, juga terletak di Ranau. Surat-surat penghargaan juga dikirimkan oleh Tan Sri Bernard Dompok, Presiden UPKO, kepada melebihi 50 pemimpin veteran UPKO, sama ada mereka masih hidup atau tidak, dan tanpa mengira ideologi politik mereka. Antara kesan pelancaran itu ialah kembalinya beberapa pemimpin veteran UPKO, termasuk Tan Sri Sufian Koroh, Toh Puan Rahimah Stephens, Kimon Anad, Paul Gurandi dan Datuk Seri Panglima Fred Jinu. Sebilangan mereka kemudiannya dilantik menjadi anggota Majlis Penasihat Adat UPKO.

Dengan pelancaran UPKO, bermula jugalah kesinambungan perjuangan parti PDS untuk menyatukan bangsa KDM dalam satu gagasan perjuangan politik melalui Kerajaan Barisan Nasional dengan tema Misompuru Tokou Wagu ("Mari Kita Bersatu Kembali").